Sultan Sarawak Darul Hana
Tidak, artikel ini bukannya ingin membicarakan tentang
Raja-raja Brooke yang pernah memerintah Sarawak, tetapi mengenai seorang
Pengiran (Putera/Tengku) dari Brunei yang pernah menjadi Sultan di Sarawak.
Sememangnya sejarah yang diajar di sekolah-sekolah pada hari ini hanya
memfokuskan kepada sejarah Rajah Putih Sarawak tanpa langsung menyebut bahawa
seorang sultan pernah memerintah negeri tersebut.
Lebih kurang 200 tahun sebelum Dinasti Brooke menjadi Rajah
Putih di Sarawak, Sarawak asalnya berada di bawah wilayah kawalan Kesultanan
Brunei. Tidak banyak yang diketahui bagaimana Sarawak ditadbir oleh Kesultanan
Brunei pada masa tersebut, tetapi berkemungkinan seorang yang setaraf dengan
Gabenor pada hari ini diletakkan di kawasan tersebut. Sarawak pada masa lalu
tidaklah seluas seperti pada hari ini, tetapi hanya meliputi lebih kurang
sekitar wilayah Kuching dan Santubong sahaja.