Sepintas Lalu: Diantara Sebab Musabab Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke Sabah.

Sepintas Lalu: Diantara Sebab Musabab Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke Sabah. 
Hasil Tulisan : Bilcher Bala
I. Faktor Pertama Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke Sabah.
Migrasi masyarakat Melayu Brunei ke juga berlaku akibat konflik istana ataupun perang saudara yang meletus di Brunei. Sejak pemerintahan Sultan Saiful Rijal pada pertengahan KM XVI, telah mula wujud perselisihan faham dalam kalangan kaum kerabat istana Kerajaan Brunei. Ini adalah disebabkan faktor perebutan kuasa antara dua golongan atau lapisan kelas utama dalam istana, iaitu Ampuan (Raja) dan Pengiran (Pembesar). Golongan Ampuan merujuk kepada pewaris takhta yang berasal darah tulen daripada keturunan Sultan yang pertama, Sultan Muhammad Shah @ Awang Alak Betatar. Manakala golongan Pengiran merujuk kepada lapisan pembesar yang dilantik oleh Sultan yang memerintah pada sesuatu masa. Golongan Ampuan telah mendominasi Takhta Kerajaan Brunei hingga pemerintahan Sultan Saiful Rijal, yakni Sultan Brunei ketujuh daripada darah keturunan golongan Ampuan tulen yang terakhir memerintah Kerajaan Brunei. Semasa pemerintahan baginda, golongan Pengiran telah mula bangkit untuk merampas takhta. Kehadiran kuasa Spanyol di Manila pada tahun 1571, telah mendorong Pengiran Seri Laila dan Pengiran Seri Ratna mengadakan hubungan secara sulit dengan kuasa Spanyol untuk merampas takhta ketika itu. Kebangkitan golongan Pengiran dikaitkan dengan masalah kezaliman golongan Ampuan yang memerintah Kerajaan Brunei, bukan sahaja bertindak secara kasar ke atas golongan rakyat biasa malah bertindak sesuka hati ke atas golongan Pengiran yang menjalankan pentadbiran kerajaan bagi pihak Sultan Brunei. Rasa tidak puas hati terhadap dominasi golongan Ampuan telah menyebabkan golongan pengiran yang dipimpin oleh Pengiran Seri Lela mengundang kuasa Sepanyol untuk menyerang dan menawan Brunei pada tahun 1578 dengan kuasa Sepanyol, Pengiran Seri Laila telah dilantik menjadi Sultan boneka untuk memerintah Kerajaan Brunei. Sesungguhpun Sultan Saiful Rijal Berjaya merampas semula takhtanya, tetapi konflik antara golongan Ampuan dan golongan Pengiran sejak itu telah berlarutan dalam sejarah takhta Kerajaan Brunei. Sultan Saiful Rijal adalah daripada darah keturunan Ampuan tulen atau Ampuan kelas 1 yang terakhir memerintah Kerajaan Brunei. Seterusnya takhta Kerajaan Brunei telah dominasi oleh golongan Ampuan kelas 2 sehingga ke hari ini, yakni darah campuran antara Ampuan (ayah) dan Pengiran (ibu). Sesungguhnya berlaku hubungan yang sangat rapat melalui perkahwinan antara kedua-dua golongan ini, tetapi perebutan antara kedua-dua keatas takhta terus berlaku, terutama apabila Sultan tidak mempunyai putera untuk mewarisi takhta. Konflik antara kedua-dua golongan ini telah meletus secara langsung menjadi perang saudara dari tahun 1661 hingga 1672.