Sejarah Perluasan Empayar Sarawak Di Bawah Brooke
Umum mengetahui bahawa wilayah Sarawak suatu waktu dahulu
merupakan tanah kuripan kepada Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam berabad
lamanya. Dan sejarah Sarawak mula berubah apabila satu demi persatu wilayah
tanah kuripan ini dimiliki oleh Brooke melalui perluasan empayarnya.
Sekitar tahun 1840an kedatangan James Brooke telah menukar
corak garis sempadan Sarawak itu sendiri. Selepas tamatnya pemberontakan yang
didokongi oleh Datu Patinggi Ali ke atas pemerintahan pembesar Brunei iaitu
Pengiran Indera Mahkota yang dipanggil Perang Seniawan 1840 di kawasan yang
dipanggil Lidah Tanah, akhirnya James Brooke berjaya menjadi Gabenor Sarawak
melalui perjanjiannya dengan Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim.