Sejarah Awal, Catatan Lisan dan Legenda Suku Tatana Kuala Penyu

Sejarah Awal, Catatan Lisan dan Legenda Suku Tatana Kuala Penyu 
Mohon Izin, mohon ampun dan maaf sekadar perkongsian cerita sejarah (Joy Marius JM)
Lebih kurang 2000 tahun yang lalu satu rumpun yang berbahasa Austronesia telah sampai ke Sungai Klias dan mengebumikan jenazah mereka di dalam sebuah gua di Pulau Burong berhampiran Pulau Labuan. Gua di Pulau Burong merupakan salah satu penempatan awal di Borneo dan merupakan tapak peninggalan mereka, dalam kajian Tom dan Barbara Harrisson (1971) yg telah membuat galian di gua tersebut sekitar tahun 1960 an, menemui peninggalan yg dikenal pasti dari "Suku Murut Sandiwar" dan mereka berpendapat bahawa Suku Lun Bawang atau Suku Bisaya belum lagi tersebar ke arah utara Teluk Brunei ketika itu. Mereka percaya bahawa nenek moyang Suku Tatana yg berhijrah ke Menumbok sekitar tahun masehi 1200 mempunyai hubungan dan mungkin berkahwin dengan Suku Murut Sandiwar atas dasar persamaan perkataan Murut seperti Kanon/nasi, monsoi/baik dan timug/air dalam bahasa Suku Tatana. Apabila masa berlalu, dari zaman ke zaman Suku Tatana menggantikan Suku Murut di kawasan Menumbok. Di dalam catatan Daly (1886) , suku yg berada di Menumbok adalah Suku Punan Tetanah.