Sandokan bahan Malaysia popular di Eropah oleh Dr MD Salleh Yaapar

SANDOKAN BAHAN MALAYSIA POPULAR DI EROPAH
Oleh: DR. MD. SALLEH YAAPAR
JARANG terlintas pada fikiran kebanyakan pembaca bahawa dunia Melayu mempunyai bahan menarik untuk penghasilan karya sastera bagi khalayak antarabangsa. Hanya sekali-sekala seseorang diperingatkan tentang ini. Umpamanya, apabila dia membaca beberapa karya daripada kesusasteraan Inggeris seperti Lord Jim oleh Joseph Conrad, Maugham’s Malaysian Stories oleh Somerset Maugham dan The Malayan Trilogy oleh Anthony Burgess. Atau selepas ia membaca novel menarik The Soul of Malaya (asalnya Malaisie) oleh Henri Fauconnier dari Perancis.
Sebenarnya, rantau Melayu memang menawarkan banyak bahan dalam pelbagai dimensi yang dapat diangkat untuk penciptaan karya bagi khalayak antarabangsa. Inilah yang dilakukan oleh pengarang-pengarang besar seperti yang disebut dan beberapa pengarang lain yang masih kurang diketahui oleh khalayak tempatan.