Raja Ismail Pemerintahan Tempasuk 1760-an

Oleh: Milus Aloh
Baginda merupakan ketua pemerintah di Tempasuk sekitar tahun 1700-an yang berpusat di Matampai. Matampai merupakan pusat pemerintahan Raja Ismail yang terletak berhampiran dengan Sungai Tempasuk. Sungai ini dipilih berdasarka kedudukannya yang tidak jauh daripada Laut China Selatan. Ada beberapa sumber menyatakan bahawa Sungai Tempasuk dipilih kerana kedudukan muara sungai ini yang sukar untuk dimudiki oleh pihak musuh, di mana peranan ombak yang menjadi penghalang kepada sesiapa sahaja untuk masuk melalui sungai ini turut diberi perhatian dan hanya orang yang mahir sahaja boleh memasukinya. Hujah ini ada kekuatannya, kerana menurut beberapa orang sarjana barat seperti Owen Rutter dan James Warren, orang Iranun adalah antara etnik yang mempunyai kemahiran di laut serta mempunyai kecekapan yang tinggi. Oleh itu, kedudukan Matampai sebagai pusat pentadbiran Raja Ismail adalah amat sesuai dan bertindak sebagai benteng pertahanan yang boleh membantu Raja Ismail menghadapi musuh-musuhnya.