LEGENDA BUKIT BAGAHAK
PERKAMPUNGAN Bagahak yang terletak di dataran tinggi begitu
mendamaikan, apatah lagi tanah-tanihnya subur untuk penanaman padi huma. Ketua
mereka, Lamugong memerintah dengan adil sehingga kampung tersebut aman
tenteram, penduduknya menolong dan berkasih sayang.
Pada suatu pagi yang cerah, selepas menjemur padi huma,
Lamugong menuruni dataran tinggi untuk mencari kimah (sejenis tiram) di laut
yang berdekatan dengan kampung mereka. Ketika sibuk mencari kimah yang semakin
banyak kerana air mula surut, Lamugong terdengar bunyi bising ayam jantan dan
apabila dilihat beberapa ekor ayam jantan sedang mengajak ayam betina memakan
padi sambil mencakar padi tersebut.