Kerajaan Melayu Langkasuka
Langkasuka
Kerajaan Melayu Langkasuka
Maklumat yang dipaparkan di sini dipetik daripada beberapa
sumber internet (Lihat Internet Langkasuka dan Internet 1.12) dan beberapa buah
buku seperti Che Man (1990), Dahlan (1979), Ibrahim (1950/1961), dan Ahmad
Fathy al-Fatani (1994/2001) dan lain-lain yang dinyatakan dalam teks nanti .
Langkasuka (atau mengikut Tarikh Fathani transliterasi Wan
Mohd Shaghir 1998, ejaannya Langqasuka sebab jawinya huruf qaf bukan kap) ialah
sebuah kerajaan Hindu-Budha Melayu yang kawasannya ialah utara Semenanjung
Malaysia (Perlis, Kedah, Perak Utara, Trengganu dan Kelantan dan seluruh Thai
Selatan sekarang (Pattani, Yala=Jalor, Narathiwat=Teluban, Songkhla=Songgora
dan Satun = Setol). Pusat pemerintahannya di Patani (walaupun ada segelintir
sejarawan mengatakan Kedah) yang wujud sejak kurun ke-1M hingga ke-8M walaupun
namanya kekal hingga abad ke-15M. Nama kerajaan ini daripada perkataan
Sanskrit: langkha yang bermakna “tanah yang indah permai” dan sukkha bermakna
“suka” atau “bahagia”. China dahulu merujuk kerajaan ini sebagai Lang-his-chia
atau Langya-hsiu/Lang-Ya-Hsiu (tetapi mengikut Tarikh Fathani, China juga
merujuknya sebagai Caihatu/Cai Ha Tu). Tulisan Hindia dahulu menyebut nama
kerajaan ini sebagai Ilangâśogam. Pengembara China terawal ada mencatatkan
lawatannya ke Langkasuka pada tahun 200M. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa,
salinan tertuanya bertarikh 1598 yang disimpan di UKM dan versi terbaru dalam
Rumi diterbitkan 1998 oleh Yayasan Karyawan dan UM) ada menyatakan Langkasuka
terletak di negeri Kedah (kawasan tebing sungai Merbok) hingga ke pantai Laut
China Selatan. Tidak syak lagi, inilah sumber yang menyokong pihak yang
mengatakan pusat Langkasuka itu di Kedah, tetapi banyak sumber lain yang tidak
menyokong hipotesis ini. Bukti konkritnya ialah prasasti yang dijumpai di
Jerang dan Djere/Jere (di Patani) dan buku Negarakertagama (karya Prapanca
1365, dalam bahasa Jawa Kuno yang dijumpai di Lombok 1894) yang menyatakan
Jerang dan Jere (di Patani) ialah ibu kota Langkasuka.