Asal-Usul Bangsa Momogun Rungus Sabah

Asal-Usul Bangsa Momogun Rungus Sabah

Sebelum penjajahan kuasa-kuasa Barat, tidak wujud sejarah bertulis di kalangan bangsa Momogun Rungus di Borneo. Kisah-kisah lalu mengenai pengalaman dan kehidupan mereka wujud dalam bentuk tradisi lisan yang disampaikan turun temurun hingga ke hari ini.

Tidak dapat dipastikan dengan tepat bila dan bagaimanakah kemunculan bangsa Momogun Rungus yang menghuni pulau Borneo amnya. Nenek moyang bangsa Momogun Rungus di Borneo dipercayai telah melalui beberapa siri migrasi sejak lebih kurang 20 ribu tahun yang lalu. Kedatangan dan pendudukan awal mereka adalah berlaku di kawasan-kawasan pantai dan tanah rendah. 

Lambat-laun, penempatan mereka mula tersebar ke kawasan-kawasan pedalaman. Andaian umum menyebut bahawa kumpulan yang terawal tersebar ke pedalaman adalah berlaku akibat daripada desakan kemunculan kumpulan pendatang baru sejak lebih kurang pada abad ke-15.