Menjejak Sejarah Silam Borneo Utara / Sabah
Sejarah Sabah Yang Hilang
Salam hormat dan salam sejahtera kepada semua peminat Sejarah Borneo Utara.
Penulisan kali ini adalah susulan dari perkongsian yang lalu mengenai kisah 4 keping surat perjanjian penyerahan Wilayah Jajahan Borneo Utara oleh Sultan Brunei kepada Overbeck dan Dent pada 29.12.1877.
Ramai peminat sejarah menghubungi penulis kerana mereka merasa keliru dan ada yang merasa terkejut tentang kewujudan wilayah jajahan Kesultanan Brunei di Borneo Utara serta ingin mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai sejarah dan dasar penyerahan wilayah wilayah jajahan Borneo Utara masa silam demi menyangkal tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Borneo Utara yang tidak pernah dikongsikan malah telah hilang serta tidak ditemui di dalam buku teks sejarah di Sekolah.
Terlebih dahulu penulis ingin menekankan bahawa sejarah Sabah terkenal dengan kepelbagaian etnik dan budaya yang telah memberikan keunikan serta mengetengahkan kehebatan setiap etnik di Sabah. Kita perlu berlapang dada dan membuka minda kepada kepelbagaian maklumat yang ada disekeliling kita.
Sebahagian besar rujukan sejarah kita bersandarkan dokumentasi yang direkodkan penjajah Inggeris serta catatan lisan oleh golongan warga emas disebabkan tidak wujud sistem penyimpanan rekod di zaman kegemilangan tamadun awal Pulau Borneo.
Generasi sekarang tidak terdedah malah tidak mengetahui tentang wujudnya kekayaan ilmu dari negara jiran terdekat kita yang suatu ketika dahulu kala pernah dikenali sebagai sebuah empayar Kesultanan Brunei yang banyak merakamkan sejarah silam berkaitan Borneo Utara.
Kerajaan Brunei telah melaksanakan pentadbiran wilayah jajahan sejak abad ke 9 lagi bermula dari sebuah negeri yang kecil tetapi telah berjaya membuat kekuatan diri dari segi politik, ekonomi dan sosial pada abad ke 10.
Dengan kekuatan ini Brunei telah membangunkan kekuatan tentera yang membolehkan mereka menakluk ke atas negeri-negeri yang berdekatan (Hirth,1967).
Dasar penaklukan berhasil meluaskan jajahan takluk Brunei sehingga perlu mewujudkan pentadbiran jajahan dengan melantik wakil kerajaan sehingga ke kawasan Pulau Palawan, Sulu dan Luzon di abad ke 16.
Wakil inilah yang dihantar ke wilayah jajahan bagi melaksanakan pentadbiran serta menjalankan kutipan cukai bukan sebaliknya yang ramai mengatakan Sultan Sulu menakluk, menjajah dan memiliki Sabah.
Kesultanan Sulu tidak faham dan tidak tahu konsep dan dasar pentadbiran wilayah jajahan yang diperkenalkan oleh Kesultanan Brunei malah tanpa segan silu memperdaya masyarakat antarabangsa dengan menagih simpati dan dengan lantang menuntut serta mengatakan bahawa Sabah milik Kesultanan Sulu yang telah dirampas oleh pihak Inggeris.
Tanpa mereka sedari kedua dua Kesultanan Brunei dan Sulu masih wujud lagi sehingga hari ini dan ada antara mereka menyimpan rekod sejarah yang lengkap dan sahih.
Selain perlantikan wakil kerajaan dalam sistem pentadbiran wilayah jajahan Brunei sebelum abad ke 19, wilayah wilayah Brunei juga telah dibahagi bahagikan kepada pemilik pemilik tertentu.
Sultan Brunei mempunyai kuasa untuk membahagi-bahagikan kawasan Brunei kepada keluarga baginda sebagai pemiliknya di mana semua wilayah jajahan Borneo Utara termasuk persisiran pantai, pulau pulau dan muara sungai adalah kepunyaan Sultan Brunei dan kaum kerabat baginda.
Pembahagian seluruh wilayah jajahan Brunei contohnya di Borneo Utara dikenali sebagai Sungai Kerajaan, Sungai Kuripan dan Sungai Tulin.
Sungai Kerajaan bererti wilayah jajahan yang dimiliki oleh Sultan Brunei tetapi tidak boleh diwarisi kepada keturunan baginda.
Sungai Kuripan adalah wilayah jajahan yang dipunyai oleh wazir wazir dan segala hasil wilayah ini dipunyai oleh mereka.
Sungai Tulin atau Pesaka adalah wilayah jajahan yang dimiliki oleh golongan Pangeran dan segala hasil jajahan ini adalah milik mereka dan ia boleh diwariskan kepada keturunan mereka.
Tidak ada satu pun wilayah jajahan ini milik Sultan Sulu.
Terdapat sedikit catatan dalam Silsilah Raja Raja Brunei teks “B” yang mengatakan Sultan Saiful Rizal di abad ke 16 memberikan “Pesaka” kepada puterinya yang bernama Raja Dungu sebanyak enam buah negeri atau wilayah iaitu Marudu, Banggi, Mempakul, Lawas, Bukau dan Membakut.
Enam buah Wilayah Jajahan tersebut diwarisi oleh Raja Pulau atau Sultan Abdul Hakkul Mubin ibni Pangeran Bendahara Pengiran Muhammad Panjang Ibni Datu Muhammad Hatta ibni Raja Sulaiman II atau Raja Matanda ibni Raja Sulaiman I. Nama sebenar Raja Dungu adalah Pangeran Anak Tuah binti Sultan Saiful Rijal ibni Pangeran Bendahara Pangeran Muda Muhammad Tajuddin ibni Sultan Bolkiah. Sultan Abdul Hakkul Mubin terkenal dalam peristiwa perang saudara Brunei atau perang chermin daripada tahun 1660-1673.
Bertolak dari catatan ini, boleh dikatakan bahawa sistem pembahagian wilayah kepada keluarga Sultan Brunei dalam bentuk Sungai Kerajaan, Kuripan dan Tulin telah wujud di zaman pemerintahan Sultan Saiful Rizal jauh lebih awal dari sebarang tuntutan Kesultanan Sulu.
Seorang dari 4 wazir utama Kesultanan Brunei adalah Pangeran Temenggung yang bertanggung jawab dalam bidang undang undang sehingga beliau dikatakan mempunyai kuasa untuk menjatuhkan sebarang hukuman kepada penjenayah sama ada di ibukota mahupun di kawasan wilayah jajahan.
Pangeran Temenggung juga di lantik sebagai Ketua Angkatan Tentera Brunei di samping Pangeran Bendahara.
Salah satu tugas Pangeran Temenggung adalah memastikan keselamatan wilayah jajahan Brunei sentiasa bebas daripada ancaman musuh dan lanun.
Dalam menjalankan tugas, Pangeran Temenggung dibantu oleh orang Laut atau Orang Bajau.
Sejarah masa lampau tak boleh diubah, apa lagi dihapuskan, yang boleh kita lakukan adalah menulis masa lampau itu. Kelompok ataupun masyarakat dari kepelbagaian etnik juga menuliskan sejarah masing-masing.
Salah satu tujuannya ialah agar anak-cucu mereka mengetahui apa yang dialami oleh bangsanya di masa lalu.
Seperti kata Marcus Garvey, “Seseorang yang tak memiliki pengetahuan tentang sejarah masa lampaunya, asal-usul dan budayanya, ia bagaikan sebatang pohon tanpa akar.”
Bagaimana kita menulis kisah silam menjadi perkara yang agak pelik daripada menemukan alasan untuk menulisnya. Siapapun tak boleh menyangkalkan bahawa kisah silam sebenarnya pernah berlaku, tapi bagaimana orang sekarang melihat kisah silam itu boleh berbeza.
Sudut pandangan dan cara seseorang melihat sebuah kisah silam akan memengaruhi bagaimana ia menuliskannya.
Latar belakang penulis juga memengaruhi sudut pandang dan bagaimana ia menulis sebuah peristiwa masa lampau.
Betapapun penulis sejarah berusaha untuk bersikap objektif, di dalam usaha rekonstruksi yang ia lakukan pasti terkandung tafsiran yang dipengaruhi oleh maklumat dan fakta sahih seperti cara ia meneliti serta panduan yang sudah ada dalam pemikirannya.
Itulah yang membuat orang berselisih pendapat mengenai ‘apa yang disebut sejarah’. Perselisihan ini merupakan hal yang lumrah terjadi di masyarakat kepelbagaian etnik manapun, pada dan sampai masa bila bila pun.
Sumber:
1. Pehin Jamil, Tarsilah Brunei, 1997
2. Pehin Jamil, Sejarah Sultan Sultan Brunei, 2014
3. Prof. Madya Dr Haji Asbol Bin Mail, Kesultanan Melayu Brunei 2011
4. His Highness Sultan Abdul Mumin of Brunei to His Excellencey CC Leys, Governor of Labuan and Consul General for Borneo, Brunei 2hb Rabiulakhir 1298 (3rd March 1881), F.O. 12/ 120).