Sejarah Datu Menteri Babu, Putatan abad ke 19

0
86

Daerah Penampang, dikatakan tidak berpenghuni sekitar abad yang ke 17.

Cuma ada sebuah perkampungan Brunei di Kinarut di mana Sultan Abdul Hakkul Mubin, yang memerintah Brunei dari tahun 1660-1673, pernah menjadikan Kampung tersebut sebagai tempat tinggal dan kubu pertahanannya (Maxwell, 2001).

Satu dasar menjejak saki baki tentera Sultan Abdul Hakkul Mubin dikatakan telah di rancang oleh Sultan Muhyiddin yang memerintah Brunei dari tahun 1673-1690 selepas peperangan Kinarut , menyebabkan ramai suku kaum Orang Laut (Bajau Samah) Kinarut berpindah ke Putatan sehingga Mengkabong di sebelah utara Kinarut dan Kawang, Papar, Membakut sehingga Kuala Penyu sebelah selatan Kinarut.

Alexander Dalrymple, yang melawat Borneo Utara pada tahun 1762-1763 mendapati suku kaum Kadazan Dusun (idaan) wujud hanya di Tuaran dan di Papar tetapi tidak menyebutkan suku kaum Kadazandusun Putatan.

Thomas Forrest, yang melawat Borneo Utara pada tahun 1776 mengatakan belum ada kewujudan suku kaum kadazandusun tetapi kaum China sudah mula tinggal dan menetap di Putatan menanam tanaman lada putih.

Seratus tahun kemudian sekitar tahun 1883, Von Donop, mencatatkan ada tinggalan kesan tanaman lada putih oleh penduduk suku kaum China tetapi atas sebab dikenakan bayaran cukai yang agak tinggi oleh Rajah kawasan ini dan tindakan tersebut seperti dibenarkan oleh Sultan Brunei maka ramai suku kaum China berpindah keluar dari Putatan.

Pada masa inilah kemunculan suku kaum kadazandusun ke Daerah Penampang.

Datu Menteri Babu dikatakan berasal dari suku kaum Bangkaakon. Nenek moyang Menteri Babu berasal dari Sungai Kawanan dekat Nunuk Ragang, Sungai Liwagu, Ranau berhijrah ke Putatan/Penampang.

Suku kaum Bangkaakon menetap di kawasan dataran tanah rata dari Moyog (Babagon) sehinggalah di kawasan Utara Bantayan.

Inanam dan Kionsom pada masa itu didiami oleh suku kaum Tobilung dan suku kaum Tanggara berhijrah ke selatan Moyog hampir dengan Putatan (Shim, 2000).

Datu Menteri Babu merupakan salah seorang tokoh yang sungguh terkenal dan amat berpengaruh di Penampang di dalam abad yang ke 19.

Apa yang menarik adalah Datu Menteri Babu merupakan seorang wanita yang memimpin kaumnya di zaman pergolakkan dan zaman pemberontakan, suatu zaman transisi perubahan pemerintahan iaitu dari zaman pemerintahan Kesultanan Brunei kepada zaman pemerintahan British.

Datu Menteri Babu dikatakan sudah lahir sekitar tahun 1815 di zaman yang sama dengan pahlawan Tanggara yang hebat bernama Monsopiad .

Datu Menteri Babu tinggal di beberapa buah Kampung yang utama seperti di Kampung Guunsing tapi rekod pihak Kolonial British mengatakan beliau tinggal di Kampung Terawi dan Datu Menteri Babu sebenarnya bernama Si Limpay (Si Limpai).

Suami beliau sudah meninggal dunia dan Datu Menteri Babu adalah seorang yang kaya sambil mempunyai tanah sawah padi yang luas serta rumah yang besar dan cantik. Beliau dikatakan menetap di Terawi.

Governor Mr Wheatley setelah mendapat Sungai Tulin Putatan pada tahun 1884, telah mengurniakan jawatan Datu Menteri Babu kepada Si Limpay pada 9.5.1884.

Datu Menteri Babu juga di lantik sebagai Native Chief dengan gaji $5.00 sebulan. Ada 5 orang Native Chief Di Putatan ketika itu selain dari Menteri Babu iaitu Datu Setia, Datu Panglima, Datu Maharajalela, Datu Perkasa dan beberapa orang Datu lagi.

Setiap Native Chief selain mendapat gaji layak menerima 1/5 dari jumlah poll tax yg dikutip. Pada tahun 1893 Datu Menteri Babu memperbaiki rumahnya dan pada bulan March 1900 beliau jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia pada 1.1.1901.

Suami Datu Menteri Babu bernama Saladik, dan beliau mempunyai legendanya sendiri dimana beliau dikatakan orang yang berjaya mendapat Mutiara (Butiza) dari seekor Naga yg waktu itu hidup di kawasan laut antara Pulau Gaya dan Putatan.

Legenda ini cuma segelintir orang Penampang saja yang tahu. Mutiara tersebut sebesar telur angsa. Selepas berjaya melarikan Mutiara Naga dan mendayung ke pantai, Suami Datu Menteri Babu mendapati bahawa Mutiara Naga itu mempunyai kuasa untuk melembutkan tanah yg dipijak seolah olah orang itu boleh tenggelam atau ditelan ke dalam Bumi.

Satu cara saja agar seseorang yg membawa Mutiara Naga itu agar tidak di telan bumi adalah berganti ganti memindahkan Mutiara Naga itu kepada seorang demi seorang sehingga mereka sampai di rumah.

Datu Menteri Babu memanggil beberapa orang Bobohizan dari kawasan sekitar untuk mengadakan upacara sembahyang untuk menghilangkan kuasa Mutiara Naga yang mampu menelan seseorang yang memegangnya ke dalam Bumi.

Upacara itu mengambil satu jangka masa yg agak lama dan akhirnya mereka berjaya menghilangkan kuasa Mutiara Naga yg boleh menelan orang ke Bumi. Apabila Suami Datu Menteri Babu meninggal dunia, ada cadangan untuk menghidupkan beliau kembali dengan menggunakan Mutiara Naga tadi dengan Mutiara Naga diletakkan di tangan beliau selama upacara itu dijalankan, tetapi ternyata beliau tidak dapat dihidupkan malah cahaya Mutiara Naga (Butiza) hilang buat selama lamanya.

Mutiara tersebut disimpan dalam sebuah tempayan dan diserahkan kepada anak lelaki Menteri Babu yang tertua (mohon Izin) bernama Bohuntung yg bererti Pelangi. Mutiara Naga tersebut setiasa diturunkan kepada susurgalur anak lelaki yg tertua.

Pada tahun 1883 Father Alexander Prenger pernah berjumpa dengan Menteri Babu Di Guunsing. Menteri Babu juga terkenal sebagai Ketua Bobohizon dengan ramai murid muridnya. Pernah timbul salah faham antara Father Prenger dengan Menteri babu sehingga Father Prenger terpaksa pindah ke Inobong.

Apabila suku Tanggara mula mula tinggal di kawasan Sugud dan Putatan mereka mempunyai hubungan yg amat baik dengan suku Bangkaakon. Apabila kedua dua suku bangkaakon dan Tanggara selesai berhijrah ke kawasan Penampang, suku Tagahas yg mendiami kawasan bukit banjaran kroker mula turun dari bukit serta menyerang perkampungan Bankaakons dan Tanggara dan berlakulah perang ngayau/memburu kepala (potong kepala).

Suku Tagahas marah kepada suku Tanggara kerana sewaktu migrasi besar suku kaum dusun mereka merasa tertipu dengan memilih kawasan bukit ulu Tuaran sebagai tempat tinggal mereka dan sebaliknya suku Tanggara dan suku bangkaakon memilih kawasan dataran landai yg subur. Perang memburu kepala ini berlaku Di zaman menteri babu Di mana pahlawan bernama Monsopiad dari suku Tanggara dan si gantang dari suku bangkaakon bergabung tenaga Saling bantu membantu mempertahankan Penampang dari serangan Suku Tagahas dan memastikan Penampang selamat.

Salah faham antara suku Tanggara dan suku Bangkaakon bermula apabila mansopiad berjaya membunuh si gantang pahlawan hebat dari suku bangkaakon (Phelan 1997).

Ada pelbagai versi kisah pembunuhan dan pergaduan antara pahlawan monsopiad dan pahlawan Si Gantang oleh kedua dua suku kaum. Pembunuhan sigantang tidak menyebabkan perang kesukuan antara suku Tanggara dan suku bangkaakon atas sebab mereka dari awal lagi sudah ada perjanjian persahabatan dan memandang kepada kewibawaan Datu Menteri Babu.

Setelah suku Bangkaakon dan suku Tanggara menetap lama di Penampang maka pembesar Kesultanan Brunei mula menuntut bayaran poll tax berupa bayaran beberapa gantang beras dan ayam atas dasar kawasan tersebut merupakan tanah jajahannya serta mereka mempunyai kekuatan tentera perang termasuk meriam.

Semakin lama jumlah cukai dan kekerapan membayar cukai mangkin bertambah menyebabkan suku Bangkaakon bangun memberontak terhadap pemungut cukai atau pemungut Buis yg dikenali sebagai pemberontakan kulintangan Buis yg diketuai sendiri oleh Huguan Siou Guunsing dan beliau berjaya membunuh semua pemungut cukai Buis serta memotong kepala mereka, pemungut cukai Buis ini sebenarnya di hantar oleh golongan pembesar Brunei.

Sultan Brunei yg bijak dan memerintah dari jauh tidak mahu menghantar tentera untuk memerangi pemberontak Penampang dan tidak setuju pahlawan pahlawan Guunsing Di ambil sebarang hukuman. Sultan yg bijak menghantar wakilnya ke Penampang dan mengumpul semua orang Tua dan Di bawa berbincang apabila mendapat keputusan sepakat maka beberapa orang tua diberikan pangkat dan gelaran Datu.

Datu Datu yg baru dilantik ini di minta memungut cukai Buis bagi pihak pembesar Brunei yg memiliki Sungai moyog, seorang datu dari Tua’ui (Terawi), seorang Datu dari Penampang proper, seorang datu dari tuavon dan seterusnya. Sultan cuma menghukum Huguan Siou Guunsing dan orang Tua hungab dengan tidak memberi gelaran datu kepada beliau atas alasan membunuh rakyat baginda yang memungut Buis. Datu dari Terawi adalah Menteri Babu dan Sultan Brunei memberikan gelaran Datu Menteri Babu kepada Si Limpay . Ketua pemberontak yang diketuai oleh seorang Huguan Siou Guunsing bernama Sagir sebenarnya adalah salah seorang dari Lima orang anak Menteri Babu.

Selain Sagir Datu Menteri Babu mempunyai seorang anak lagi bernama Buka (Topin 2003) Sagir menyerang pemungut Buis yg melalui satu kawasan dari Digot sehingga Sodomon selepas Puun Tunoh. Sagir ada membuat kubu di bukit Sinongkulan dan sekitar tahun 1855 beliau merupakan ketua kepada pangazou (pahlawan).

Ahli keluarga Datu Menteri Babu sebenarnya terdiri daripada beberapa orang anak lelaki yg gagah perkasa dan keluarga Datu Menteri Babu sungguh berpengaruh.

Penulis ada menjejak beberapa ahli keluarga waris Datu Menteri Babu termasuk melawat kuburan Si Limpay di Terawi. Beberapa maklumat soal salahsilah dan susurgalur terdapat beberapa perbezaan di antara mereka dan penulis memohon maaf jika berlaku ada sebarang kesalahan sekadar cuba mengangkat Sejarah Tokoh Wanita yang Gemilang berasal dari Putatan suatu ketika dulu.

Sumber :

1. PS Shim, Inland People of Sabah, 2007

2. PS Shim, Life and Times of Datu Menteri Babu, Sabah Society Journal, 2004

3. British North Borneo Herald 1884-1885

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here