Penentangan Blayong, Ketua Suku Murut, Pedalaman Sabah pada tahun 1914

0
50

Minggu ini kita menjejak Sejarah Silam North Borneo Sabah di sebelah Pedalaman Sabah (Keningau, Rundum, Tenom dan Pensiangan) selepas beberapa minggu yang lalu berkongsi serba sedikit cerita pendek di kawasan Pantai Timur.

Jika kita menjejak perjuangan dan penentangan Suku Murut terhadap pihak BNBC di Sabah maka terserlah ramai nama nama pahlawan Suku Murut yang terkenal antaranya Dato Setia Bakti, Banessah, Semporna Numpal, Tahang, Linggam, Melayak, Blayong, Alisun, Angsukul, Kalur, Ingkun, Singadu, Mulang, Antak dan Antanom.

Penentangan Ontoros Antanom merupakan kemuncak penentangan Suku Murut di Sabah terhadap pihak BNBC dengan kejadian luar biasa tanpa di sangka penyatuan Suku Kaum atau Masyarakat Murut yang selama ini terkenal dengan dendam, pemusuhan dan peperangan antara Suku Kaum.

Pengerusi BNBC ketika itu adalah Sir West Ridgeway, pengganti William Cowie berkata “kita bukanlah sebuah Syarikat Perdagangan tetapi adalah sebuah kerajaan. Pentadbiran adalah tugas utama kita dan kita perlu menjaga kebajikan penduduk tempatan yang setia terhadap pentadbiran kita. Polisi yang baik akan mendatangkan pulangan yang lumayan”. Satu dasar dan polisi yang akhirnya memakan diri sendiri.

Semasa pentadbiran Sir West Ridgeway, beliau memperkenalkan reformasi pentadbiran yang boleh memperkasakan dan merangsangankan lagi pertumbuhan serta perkembangan ekonomi yang lebih cepat dengan memperkenalkan akta Ordinan Ladang 1913 , kerahan tenaga yang baru termasuk meminta penduduk kampung membuat jalan rentas dan cukai minuman keras.

Satu dasar dan polisi yang sebenarnya menimbulkan penentangan Suku Kaum dan kemuncak peperangan pada tahun 1915.

Membina jalan rentas di kawasan berbukit bukau dan hutan tebal di beberapa lokasi tertentu merupakan satu tindakan yang boleh menggangu roh nenek moyang Suku Murut selain dari bekerja sebagai buruh paksa yang di anggap sebagai satu penindasan dan bertentangan dengan norma kehidupan sosial mereka.

Seorang pahlawan dan Ketua Suku Murut Tagol yang berani bernama Blayong adalah antara Ketua Suku yang yang berasa tidak puas hati apabila penduduk kampungnya di minta membuat jalan rentas dari Pensiangan ke Rundum secara paksa apalagi ketika membina jalan rentas tersebut mereka di paksa merentas bukit batu keras yang sungguh sukar sehingga mereka berhenti membina jalan rentas dengan rasa marah meninggalkan tugas yang diarahkan oleh pihak BNBC.

Pihak BNBC memandang serius tindakan Blayong yang mereka anggap hanya sebagai seorang mandur dan mengumumkan sesiapa yang bertindak melindungi dan membantu Blayong akan dikenakan hukuman dan tindakan keras seperti contohnya rumah Siluang diseberang Sungai Tagol yang di bakar kerana didapati menyokong tindakan Blayong.

Blayong dengan pengikutnya membina sebuah Kubu di puncak bukit Ulu Tagol dan mengumpul senjata untuk menentang pihak BNBC.

Di sini disertakan senarai kronologi verbatim Operasi Blayong oleh pihak BNBC pada bulan Jun dan Julai 1914 dari catatan serta laporan Bunbury:-

9.6.1914 – Surat Sulit Gabenor Parr kepada Pengerusi BNBC, Sir West Ridgeway tentang kemungkinan berlaku penentangan Suku Murut. Beliau berpendapat penentang Suku Murut ni dipengaruhi oleh penduduk dan para pedagang suku peribumi sempadan Belanda Kalimantan.

13.6.1914 – Bunbury (Pemangku Residen Kawasan Pedalaman) menerima laporan dan diarahkan menyiasat seorang Pahlawan Murut bernama Blayong yang sedang mengumpul senjata dan membuat Kubu. Bunbury bergerak dari Rundum ke rumah Inong dekat Sungai Lentikan yang mengalir ke Sungai Simelengu cabang Sungai Telekosan.

14.6.1914 – Bunbury dan Baboneau (Pegawai Daerah) bergerak ke Telekosan Sungai Tagol /Sungai Solidi dengan ramai anggota polis dan pasukan Dayak. Pergi ke rumah Belawang dekat Sungai Solidi. Cuba menghubungi Blayong tapi gagal.

15.6.1914 – Menuju ke arah Sungai Mongol melalui cabang Sungai Togol ke Kubu dan rumah Blayong di puncak Bukit Ulu Tagol

17.6.1914 – Bergerak ke Sungai Lumimpi dan tiba ke Kubu dan rumah Blayong. Kawasan Kubu dan rumah di kelilingi dengan banyak jerangkap samar diperbuat dari bambu tajam yang dikenali sebagai “Sudah”. Tembakan bertubi tubi oleh anggota polis BNBC terhadap Kubu Blayong tetapi tiada seorang pun yang cedera. Serangan demi serangan oleh pihak polis dan akhirnya Blayong bersama pejuang Suku Murut yang berada di dalam kubu tersebut berjaya melarikan diri. 5 orang pengikut Blayong tertangkap dan 3 laras senapang di rampas. Seorang anggota polis terbunuh bernama PC 445 Ambutal terkena bingkasan (jerat) dan terkorban serta merta. Seorang anggota Polis Suku Murut bernama Menandong dengan sukarela menawar kan diri untuk membakar rumah Blayong. Blayong dan pengikutnya menyeberangi sungai Tagol dan pergi ke rumah Siluang. Wakil BNBC dihantar kerumah Siluang untuk meminta beliau melaporkan diri kepada Tuan Pemangku Residen tapi dia tidak datang.

18.6.1914 – Bunbury menyeberangi Sungai Tagol dan pergi ke rumah Siluang yang mengibarkan bendera putih tetapi tiada orang di sana.

19.6.1914 – bergerak di tebing Sungai Tagol kearah Sungai Semakuang untuk kerumah Ketua Suku Murut bernama Semakir dan Irohot tetapi perkampungan kosong dan tidak berpenghuni. Pada waktu malam boleh kelihatan pergerakan obor obor api dan bunyi tembakan dari pejuang Suku Murut. Rumah Siluang di bakar oleh pihak BNBC lalu bergerak menuju ke Tagol melalui Semakaung ke rumah Ketua Suku Murut bernama Semakit dan Irohot yang tidak berapa menyokong BNBC yang mulai dirasa sejak bulan April 1914. setibanya kumpulan BNBC , tiada orang berada di kampung tersebut.

20.9.1914 – 12 orang wakil Ketua Suku Murut datang untuk membuat rundingan damai tapi cara mereka berunding seakan berpura pura dan membuang masa

23.6.1914 – Anggota polis yang diketuai oleh Bunbury melawat Sungai Sikilu ke arah rumah Ketua Suku Murut bernama Ansubuk dan Sigintum tetapi seperti semua kampung yang lain di kosongkan. Dari tebing Sunai Sikiliu menyeberang Sungai Selalir dan pergi ke Kagimbulan mencari beberapa orang Ketua Suku Murut yang bernama Sangut, Mukang, Maga dan yang lain.

Seterusnya menuju ke tebing Sungai Kabu dan tebing sungai Katungaan ada dua rumah tetapi penghuninya melarikan diri.

Menuju ke rumah Lembuku melalui tebing Sungai Kagimbulan cabang Sungai Selalir.

Menerima laporan Blayong bersembunyi dikawasan bekas kubu beliau.

Serangan ke atas Blayong menimbulkan khabar angin bahawa pihak BNBC ingin menyerang penduduk dan memusnahkah seluruh Kawasan Tagol

24.6.1914 – tinggalkan Sungai Sikilu dan sampai Sungai Katungan cabang Sungai Kabu. Penduduk kampung melarikan diri

26.6.1914 – pasukan ekspedisi sampai ke rumah Lembuku. Lembuku dan penduduk kampung melarikan diri dan di panggil balik oleh Bunbury dan dinasihatkan jangan ikut campur dalam soal penentangan bersenjata

28.6.1914 – pergi ke rumah Lembuku sekali lagi dan berbincang

29.6.1914 – menuju Sungai Simengali

30.6.1914 – menggunakan perahu di Sungai Tagol menuju ke Pensiangan. 10 anggota polis tinggal di Pensiangan dan anggota polis lain balik ke Rundum.

5.7.1914 – Selepas beberapa hari berehat bergerak dari Pensiangan ke Temelasak. Berjumpa bereapa orang Ketua Suku Murut yang dikatakan ikut serta dalam penentangan bersama Blayong tetapi mereka menafikan

7.7.1914 – Kembali ke Pensiangan selepas dari Temelasak

9.7.1914 – dari Pensiangan ke Sibungo. Memeriksa Jalan Rentas yang di buat oleh penduduk kampung Blayong. Termasuk jalan yang di paksa merentasi bukit berbatu keras

13.7.1914 – bergerak ke Rundum. Blayong menghantarkan senjata beliau tetapi tidak melaporkan diri… sejak hari itu beliau hilang tidak dapat di kesan.

4.8.1914 – Perjumpaan dengan Ketua Suku Murut dari Selalir dari muara Sungai Kubu bernama Mukang tetapi mereka juga tidak menghormati Pemangku Residen BNBC yang banyak menyerang kampung Suku Murut.

Selama ini pihak pentadbiran BNBC menganggap bahawa Suku Murut sebagai suku yang lemah dan penakut. Tetapi maklumat yang mereka perolehi dalam ekspedisi dan Operasi Blayong ini mengubah pandangan mereka bahawa Suku Murut boleh disamakan seperti penentangan Zulu Nation di Afrika di mana disebalik sikap luaran mereka yang menghormati orang luar tetapi mempunyai semangat pejuangan yang tinggi dan mengerunkan jika mereka semua bersatu apabila di tindas.

Khabar angin api kemarahan Suku Murut mula tersebar di Kawasan Tagol. Sebenarnya pihak BNBC cuma ingin menghukum sebilangan Ketua Suku Murut yang tidak mengikuti arahan pihak BNBC bukan seluruh Suku Murut tetapi disalah tafsir sebagai satu kekejaman dan penindasan terhadap semua Suku Murut.

Kisah keberanian dan pejuangan Blayong menimbulkan kesedaran bahawa terdapat had atau tahap kesabaran sesuatu kaum yang hidup dalam penindasan dan ketidak adilan. Begitu juga sejauh mana satu kejadian dapat menguji had atau tahap kesabaran seseorang atau satu kaum yang melihat anggota atau ahli kaum mereka yang bermaruah di hina dan di buru umpama haiwan liar tanpa sebarang perbelaan.

N.B. Baboneau mencatatkan satu masalah besar akan berlaku selepas ini di mana Suku Murut akan memberontak secara besar besaran, ” the rising is universal and not a single village or even individual is loyal to the Government”.

Tidak lama kemudian berlaku penentangan bersenjata dan penyatuan Suku Kaum Murut secara besar besaran dengan ribuan para pejuang dalam Perang Rundum pada tahun 1915 yang di ketuai oleh seorang pejuang lagenda Suku Murut bernama Ontoros Antanom.

Begitulah berakhir satu lagi kisah ringkas ketokohan, keberanian dan perjuangan Blayong seorang pahlawan Suku Murut yang berani dan berjaya menentang pihak BNBC di mana akhirnya hilang tidak dapat di kesan tetapi namanya harum zaman berzaman sebagai satu simbol kesedaran.

Saya akhiri tulisan hari ini dengan kata mutiara bahawa:-

Dalam kehidupan ini kita perlu berkorban. Sesuatu pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan.

Ketabahan memerlukan keyakinan.

Keyakinan menentukan kejayaan.

Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

Sumber :

1. Owen Rutter, British North Borneo, 1922

2. KG Tregonning, A History of Modern Sabah 1881-1963, 1965

3. FG Whelan, A History of Sabah, 1970

4. Ian Black, A Gambling Style of Government, 1983

5. D.S. Ranjit Singh, The Making of Sabah 1865-1941, 2000

6. CO 874

Rujukan :

Aki Ellie Kemabong Tenom

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here