Sejarah Masjid Kampung Sembulan – Masjid Tertua di Kota Kinabalu, Sabah

0
86

BISMILLAH HIRRAHMAN NIRRAHIM

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, marilah kita menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia, berkat kasih dan sayang serta izinan-nya dapat kita berkongsi satu lagi kisah Sejarah Silam Sabah, walaupun kita masih berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Mengikut kajian para sejarawan, antara perkampungan Brunei yang terawal di persisiran pantai Borneo Utara adalah terletak di Kinarut iaitu pada sekitar abad yang ke 17, di mana Sultan Abdul Hakkul Mubin (1660-1673), Sultan Brunei yang ke 13, menjadikan Kinarut sebagai Kota atau kubu pertahanan selama hampir 13 tahun dalam perang saudara serta serangan tentera Kesultanan Brunei, yang kemenangan berpihak kepada Sultan Muhiyiddin (1673-1690), Sultan Brunei ke 14.

Selepas peperangan tersebut saki baki penduduk dan tentera yang mempertahankan Kinarut banyak yang berhijrah sehingga ke Mengkabong dan Tempasuk di sebelah utara dan Papar sehingga Sepitang sebelah selatan Kinarut.

Menurut tradisi lisan dari golongan orang tua, antara lokasi tempat tinggal waris dan saki baki penduduk dan tentera Kinarut adalah di Kampung Sembulan Lama.

Lama kelamaan keturunan mereka telah berkahwin campur dengan suku Bajau Samah atau “orang laut” dan suku peribumi lain yang berlaku dari generasi ke generasi melalui proses integrasi dan asimilasi berterusan selama ratusan tahun selepas peristiwa Perang Kinarut tersebut. Apa yang menarik serta unik dalam konsep sebuah keluarga di zaman itu adalah ikatan, kesinambungan dan hubungan kekeluargaan tetap terpelihara serta terjaga.

Di zaman itu, di mana ada perkampungan penduduk yang beragama islam maka wujudlah sebuah institusi pendidikan tradisional Islam seperti rumah tok guru, rumah saudara mara atau rumah pondok yang banyak diamalkan di wilayah Nusantara seperti Semenanjung Malaysia, Indonesia, Brunei dan selatan Thailand.

Sistem tok guru atau pondok di kalangan saudara mara yang mempunyai ilmu agama yang tinggi diamalkan ini tiada had usia dan tidak mengira latar belakang sesiapa. Sesiapa sahaja boleh datang pada bila-bila masa untuk menuntut ilmu, meliputi semua ilmu akhirat dan ada yang menumpang tinggal di rumah tok guru atau pondok tempat berlajar. Sebuah sistem informal yang mengkhususkan dan menumpukan pendidikan agama kepada segenap generasi. Antara usaha yang di jalankan oleh pewaris baharu pada zaman dahulu untuk melahirkan orang yang tinggi ilmu agama pada zaman itu.

Pulau Gaya, merupakan pusat pentadbiran BNBC yang terletak di persisiran pantai Barat Borneo Utara telah di serang dan di bakar oleh Mat Salleh dan pengikutnya pada tahun 1897.

Jesselton dibangunkan pada tahun 1899, dengan kerja-kerja untuk membersihkan tanah sebagai tapak mendirikan bangunan-bangunan kerajaan serta beberapa deret kedai.

Pada 9 November 1899, bermula kerja-kerja pembinaan benteng-benteng untuk menghalang ombak, jeti dan bangunan-bangunan kerajaan telah dijalankan.

Pada awal tahun 1900, pekedai-pekedai dari Gantian telah mula berpindah ke Jesselton dan proses perniagaan telah bermula dengan rasminya pada 10 November 1900.

Kampung Sembulan Lama di buka oleh Allahyarham Sharif Amir ibni Sharif Yusof dengan beberapa orang ahli keluarganya termasuk Allahyarham Sharif Sarudin salah seorang lagi pengasas Kampung Sembulan Lama, sekitar tahun 1788 selepas Perang Menggatal iaitu beberapa siri peperangan menentang tentera Kesultanan Sulu (mundu) yang menyerang dan membakar kampung kampung penduduk tempatan di persisiran pantai barat Borneo utara, Sharif Amir adalah cucu seorang ulama dan pendakwah agama islam bernama Sharif Hussin seorang Arab dari Hadramaut, Yaman, Selatan Arab yang berkahwin dengan seorang wanita tempatan dari salah satu kepulauan Nusantara, menurut catatan dalam buku sejarah Sembulan yang disimpan oleh penduduk kampung.

Kisah dan sejarah Sharif Sharif ini hilang di telan zaman telah lama dilupakan hanya diketahui segelintir warga emas Kampung Sembulan. Ketua Kampung Sembulan Lama pada tahun 1950 adalah Allahyarham Orang Tua Datuk Hussin Bin Abdullah Bin Rajit Bin Sharif Amir dan jalur dari sebelah ibunya ada kaitan kekeluargaan dengan keturunan Pehin Orang Kaya Di-Gadong Seri Lela Awang Aminuddin yang menyerang Sepanyol di Manila pada tahun 1769 iaitu dari susurgalur Datu Godam, Minangkabau, Sumatera.

Perang Menggatal diketuai oleh Raja Tua Mengkabong bernama Pengiran Temenggong Pengiran Momin Amirul Faza anak lelaki Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Anak Untong ibni Sultan Jalilul Jabbar. Pengiran Abdul Momin, adik beradik seibu sebapa dengan Pengiran Serbanun yang berkahwin dengan Sultan Muhammad Aliuddin ibnu Pengiran Digadong Pengiran Muda Shah Mubin ibni Sultan Muhiyiddin.

Antara Imam terawal selepas perang dunia ke dua di Kampung Sembulan adalah Imam Jilang Bin Pampang, sepupu sekali Orang Tua Datuk Hussin Bin Abdullah, mengajar mengaji di rumah beliau yang dikatakan salah seorang murid Imam Haji Yaakub Bin Haji Ali.

Haji Yaakub Bin Haji Ali Bin Abdullah yang lahir pada sekitar tahun 1841, adalah seorang ulama terkenal dizamannya berasal dari Kampung Chetok, Pasir Mas, Kelantan dari empat orang bersaudara bernama Abdul Aziz, Mohd Salleh dan Zaleka.

Beliau juga merupakan seorang guru ugama, berdakwah dan mengembara ke beberapa buah negeri seperti Melaka, Selangor, Kedah, Brunei dan Sabah di mana beliau pernah menjadi guru ugama di Istana Kedah dan pernah juga mengajar Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri Malaysia yang Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj ketika beliau masih kecil lagi.

Haji Yaakub berhijrah ke Brunei Darussalam pada tahun 1885 dan menetap di Sungai Biawak, Pekan Muara, Brunei. Beliau berkahwin dengan Dayang Fatimah Binti Awang Tarip. Pasangan ini telah dikurniakan enam orang anak bernama Dayang Zauyah, Hajjah Dayang Badariah, Mohd Sherbini, Mohd Seruji dan Mohd Suhaili.

Haji Yaakub berpindah ke Sabah pada tahun 1917 dan tinggal di Kampung Putatan yang tidak jauh dari Jesselton. Beliau membeli sebidang tanah dan membuat rumah serta membawa sebahagaian keluarganya berpindah dari Brunei ke Sabah.

Masyarakat Islam Jesselton terdiri dari orang Melayu (Bajau Samah), Brunei dan berberapa suku lain yang mendiami kawasan persisiran pantai barat.

Masjid di Jesselton memang sudah wujud sejak awal abad ke 19 dengan pembinaan masjid tersebut menggunakan bahan binaan seperti Pokok Buluh, Nibung, Nipah dan Rumbia di sebuah tapak perkampungan Kampung Air bernama “Diasoka”.

Masjid tersebut kemudian di gelar “Masjid Jesselton” dan peranan Masjid Jesselton ketika itu bukan sahaja sebagai tempat beribadat malah berfungsi dalam apa jua aspek termasuk dijadikan sekolah pendidikan tidak formal dan pelajaran yang diajarkan cenderung kepada ajaran Islam seperti belajar membaca Al Quran, Berzanji, Sembahyang.

Pembinaan, membaik pulih serta membesarkan Masjid Jesselton dibiayai oleh masyarakat kampung, pesara polis kebanyakan orang Pakistan yang di bawa oleh pentadbiran pihak kompeni (BNBC) seperti Jamidar Yassin, Datuk Abdul Ladis, Haji Ismail, Haji Jalil, Abdul Hamid dan Orang Tua Dimbong. Selepas siap membina, membaik pulih serta membesarkan Masjid Jesselton, Haji Yaakub telah di lantik menjadi Imam Masjid Jesselton secara rasminya.

Haji Yaakub menjadi seorang yang amat berpengaruh dan berwibawa kerana beliau amat arif mengenai Agama Islam dan telah diberi mandat untuk melaksanakan undang undang yang berkaitan Agama Islam seperti Akad Nikah, Cerai, tuntutan Nafkah dan adat istiadat berkaitan Islam seperti penetapan Puasa di bulan Ramadhan, penentuan Hari Raya Aidil Fitri dan sebagainya.

Pada tahun 1923 ketika berusia 5 tahun, Imam Haji Suhaili Bin Haji Yaakub yang lahir pada tahun 1918 di Muara, Brunei berhijrah ke Sabah. Pada 12hb October 1934, ketika berumur 16 tahun, beliau telah dilantik menjadi Imam di Daerah Putatan dan merupakan Imam yang paling muda dalam sejarah Sabah.

Pada 11hb Februari 1940, Imam Haji Suhaili menggantikan ayahnya Haji Yaakub dan menjadi Imam Masjid Jesselton. Imam Haji Suhaili bin Imam Haji Yaakub membantah pemindahan Masjid Jesselton ke Kampung Sembulan dan meletak jawatan sebagai Imam kerana merasa hampa disebabkan sebahagian dari masyarakat enggan bekerjasama mempertahankan tempat tinggal mereka di Kampung Ayer dan Masjid Jesselton. Tempat beliau digantikan oleh Tuan Imam Pandin Bin Jebair (Datuk Haji) di Masjid Kampung Sembulan.

Masjid Kampung Sembulan menjadi masjid yang tertua di Kota Kinabalu, Sabah yang mula beroperasi pada 21 Januari 1950 apabila Masjid Jesselton dirobohkan dan dipindahkan di Kampung Sembulan.

Tiang tiang dan kayu beruti dari Masjid Jesselton sebahagiannya digunakan semula serta di angkat oleh penduduk kampung Sembulan dengan dipikul di bahu berjalan kaki beramai ramai dan ada yang membawa papan dan peralatan lain dengan menggunakan perahu untuk pembinaan masjid kayu secara gotong royong dengan kapasiti kira kira 350 jemaah atas sebidang tanah pemberian Kerajaan British kepada masyarakat Islam di kampung Sembulan.

Bekas Ketua Daerah Jesselton, Orang Kaya-Kaya (OKK) Laiman Diki dan Orang Tua (Ketua Kampung) Sembulan, Datuk Hussin Bin Abdullah adalah pemegang amanah asal geran tanah tapak Masjid Kampung Sembulan yang diberikan kerajaan British melalui geran tanah bertarikh 9 Jun 1956 untuk tapak masjid seluas 0.18 hektar yang kini diserahkan kepada Jawatankuasa Masjid.

Para Imam dan guru agama terawal Kampung Sembulan seperti Iman Haji Pandin Bin Jebair, Allahyarham Imam Haji Kadir Bin Zainal (Jamud), Allahyarham Imam Haji Taib, Allahyarham Imam Haji Ahmad Bin Pakir, Allahyarham YB Jumaa Haji Salim, Sairin Haji Salim, Omar Kassim dan ramai lagi merupakan antara murid murid Imam Haji Yaakub, Imam Haji Suhaili dan Imam Haji Sarbini. Tuan Imam Haji Pandin dan Imam Haji Kadir Zainal berserta anak beliau seperti Imam Haji Ahmad Bin Haji Kadir pernah berbakti mengajar anak anak penduduk kampung mengaji kitab Al Quran di rumah mereka.

Masjid Kampung Sembulan pernah menjadi lokasi tilawah al-Quran peringkat negeri, selain menjadi pusat persinggahan jemaah haji sebelum berlayar ke Mekah dari Pelabuhan Jesselton. Sekitar tahun 1950-an dan 1960-an, belum ada Tabung Haji (TH) atau pusat penginapan yang boleh digunakan untuk bakal jemaah dari seluruh Sabah sementara menunggu jadual pelayaran kapal ke tanah suci.

Pihak pengurusan Masjid Kampung Sembulan pada masa itu menyediakan sebuah rumah wakaf dan di situlah bakal jemaah haji Sabah berkumpul dan menginap serta melakukan aktiviti agama.

Walaupun keadaan Masjid Kampung Sembulan ketika ini agak sempit, Jawatankuasa Masjid berusaha memastikan kemudahan untuk pengunjung disediakan sebaik mungkin untuk keselesaan mereka beribadah. Masjid Kampung Sembulan berfungsi sebagai masjid negeri pertama Sabah pertama dan pusat dakwah di bandar hingga bulan Jun 1977.

Pembinaan Masjid Negeri Sabah terletak di Bulatan Sembulan, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu dimulakan pada tahun 1970 dan siap sepenuhnya pada tahun 1975. Perasmiannya telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada 11 Rejab 1397 Hijri bersamaan 28 Jun 1977. Tapak masjid Negeri Sabah adalah seluas 14.5 ekar dan berada di lokasi yang strategi kerana dikelilingi dengan kompleks kerajaaan, bangunan USIA, bangunan Yayasan Sabah, bangunan Tabung Haji dan beberapa Institusi pengajian, sekolah, serta kawasan perkampungan Sembulan.

Apabila Masjid Negeri Sabah dibuka, semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Kampung Sembulan termasuk pengerusinya berpindah dan menjadi AJK Masjid Negeri menyebabkan Masjid Kampung Sembulan ditinggalkan tanpa jawatankuasa pengurusan. Jawatankuasa Masjid Kampung Sembulan berpindah secara rasmi ke Masjid Negeri Sabah yang baharu dan bekas imam Masjid Kampung Sembulan, Datuk Haji Imam Pandin Bin Jubair dilantik Imam Besar Masjid Negeri Sabah yang pertama pada 28 Jun 1977.

Masjid kayu Kampung Sembulan asal dirobohkan dan digantikan dengan bangunan konkrit pada tahun 1979. Mantan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Mohd Kassim Hashim (mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Ketua Kampung Sembulan, Orang Tua Datuk Hussin bin Abdullah) antara individu yang banyak menyumbang kepada pembangunan semula Masjid Kampung Sembulan.

Pada bulan Ogos 1964, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein adalah antara pemimpin negara yang pernah menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Sembulan.

Jaguh tinju dunia, Muhammad Ali dijadualkan datang ke Masjid Sembulan ketika kunjungannya ke Sabah pada 1975 tetapi dibatalkan saat akhir.

Solat Jumaat di Masjid Kampung Sembulan dihentikan bermula Jun 1977 dan dipindahkan ke Masjid Negeri Sabah atas beberapa faktor iaitu jarak antara dua masjid itu yang dekat, iaitu kira-kira 500 meter. Ketika itu, ada pendapat mengatakan solat Jumaat jika diteruskan di Masjid Kampung Sembulan, dikhuatiri melanggar syarak kerana tidak dibenarkan mengadakan dua solat Jumaat di kampung sama kerana Masjid Negeri Sabah juga terletak di Kampung Sembulan.

Bagaimanapun, peningkatan jemaah hingga menyebabkan ruang di Masjid Negeri Sabah menjadi sangat sesak terutama ketika solat Jumaat, menyebabkan timbul cadangan mengadakan semula solat Jumaat di Masjid Kampung Sembulan yang dikemukakan kepada Pejabat Mufti Negeri Sabah sejak 1980-an, namun tidak diluluskan sehinggalah satu permohonan baharu dikemukakan awal tahun 2017.

Pemohonan tersebut mengambil kira beberapa faktor antaranya Masjid Kampung Sembulan terletak di Kampung Sembulan Lama, manakala Masjid Negeri Sabah di Kampung Sembulan Baru, jadi ia tidak melanggar syarak berkaitan larangan mengadakan dua solat Jumaat di kampung sama, peningkatan jemaah hingga menyebabkan ruang di Masjid Negeri Sabah menjadi sangat sesak terutama ketika solat Jumaat, Masjid Negeri Sabah terlalu sesak dan ada keperluan mewujudkan lokasi baharu untuk kemudahan umat Islam bersembahyang khususnya solat Jumaat dan Masjid Kampung Sembulan dikenal pasti sebagai penyelesaiannya.

Oleh sebab itu timbul cadangan mengadakan semula solat Jumaat di Masjid Kampung Sembulan di samping pihak Ahli Jawatan Kuasa Masjid Kampung Sembulan melalui Pengerusinya Tuan Haji Nordin Bin Palah, menghantar surat kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk memohon agar solat Jumaat dibenarkan di Masjid Sembulan pada awal tahun 2016 sebelum mendapat jawapan menggembirakan pada bulan Disember 2016.

Buat pertama kali selepas 40 tahun, solat Jumaat diadakan semula di Masjid Kampung Sembulan, di sini, bermula pada 6 Januari 2017, sekali gus mengembalikan nostalgia fungsinya sebagai masjid tumpuan bagi bandar Kota Kinabalu selain dari Masjid Likas diimamkan oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Ustaz Hamdani Omar.

Ramai umat Islam Jesselton (Kota Kinabalu) termasuk penduduk Kampung Sembulan dan pemimpin serta kenamaan negeri menyimpan nostalgia pernah bersembahayang Jumaat di Masjid Kampung Sembulan, antaranya Yang di-Pertua Negeri Sabah sekarang, Tun Juhar Mahiruddin, mantan Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah, Menteri Menteri dan Pembantu Menteri antaranya Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Mohd Ariffin Arif.

Dengan kedudukannya hanya dua kilometer dari pusat bandar, Masjid Kampung Sembulan menjadi tumpuan bukan saja penduduk sekitar bandar raya, malah pemimpin negeri dan negara yang berkunjung ke Kota Kinabalu ketika itu untuk singgah menunaikan solat.

Kami penduduk Kampung Sembulan memohon doa kehadrat Allah S.W.T. agar suatu hari nanti terbukalah hati para pemimpin Kerajaan Negeri Sabah untuk membina kembali serta membesarkan lagi Masjid Kampung Sembulan ini buat keselesaan jemaah yang sejajar dengan perkembangan semasa demi mengenang kembali jasa, peranan dan sumbangan Masjid Kampung Sembulan di zaman silam.

Penulis terlebih dahulu memohon ampun dan maaf jika ada sebarang salah dan silap serta sebarang kekurangan dalam perkongsian kisah buat kali ini harap dapat bantu diperbetulkan. Sesiapa yang mempunyai maklumat tambahan serta gambar lama mengenai Masjid Kampung Sembulan adalah amat dialu alukan.

Semoga pembaca mendapat manfaat dan menambah lagi ilmu pengetahuan tentang satu lagi sejarah Sabah dari cerita di atas.

Sumber:

1. Rencana: Sedikit Kisah Asal Usul Masjid Kampung Air, Utusan Borneo, 2.4.1997

2. Jeffri Bin Mohd Asi – Simbulan 1788 – Sejarah Kampung Sembulan Lama, 2016

3. Mohd Izham Unnip Abdullah, Berita Harian, 3.2.2017

4. Sahar Bin Haji Piassin

5. Tuan Haji Nordin Bin Pallah

6. Allahyarham Damin Bin Haji Ismail

7. Keluarga Sinar Kasih (keluargasinarkasih.blogspot.com)

8. Abd Naddin (abdnaddin.blogspot.com)

9. Sejarah North Borneo Sabah (Halaman Facebook)

10. Masjid Sembulan Kota Kinabalu (Halaman Facebook)

11. Arkib Negeri Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here